Wednesday, September 16, 2009

HARI RAYA?.......Nak raya aper?....


Hari ini penghujung ramadhan, syawal is just around the corner, staff aku dah cuti hari ini, staff petang pun cuti gak. Tinggal aku sorang jer menghadap jalan sambil membilang kereta kereta yang lalu lalang di jalan raya. Aku tak bukak lagu, tak pasang radio, sengaja aku biarkan sunyi kedai aku, bila mendengar lagu raya, aku sayu sikit, sebab pada tahun ini raya aku paling tak meriah, tak tahu kenapa, banyak sangat yang aku pikirkan. Sehinggakan aku rasa benci sangat, benci dengan keadaan ini. Aku menghadapi jalan buntu, pening yang tidak pasti ada kesudahannya, kenapa jadi begini, bila aku melihat kemeriahan syawal yang digembar gemburkan oleh semua orang, aku jadi amat tertekan dan sedih. Kenapa aku tidak merasa gembira dengan ketibaan syawal ini. Apa yang tak kena pada diri aku. Bila nak dekat dekat raya ni semuanya sibuk menguruskan persiapan dan berkemas kemas rumah. Aku tengok orang rumah mengemaskan apa apa yang patut, aku pulak tak buat apa, hanya mampu melihat dan sepanjang hari aku di kedai menunggu pelanggan yang datang atau tak berapa nak datang. Begitu juga sepanjang puasa ini, aku tak berapa sangat dapat meluangkan masa ke masjid, walaupun berpuasa tapi aku menyesal juga tak dapat gunakan bulan puasa ini sepenuhnya untuk beramal, hanya menghabiskan sepenuh masa di kedai aku.

Kedai ini dah jadi sebahagian dari hidup aku, jatuh bangunnya kedai ini bergantung kepada usaha dan kekuatan dari aku, aku tak boleh mengharapkan sesiapapun menjaganya, kalau aku sudah mula melangkah, aku mesti teruskan melangkah untuk sampai ke matlamat yang ingin aku tujui, tak boleh aku berhenti di tengah jalan, mungkin untuk berehat boleh, tapi aku tak boleh berhenti dan berputus asa. Aku jadikan pengalaman yang lalu sebagai kekuatan, aku jadikan kisah kisah dan pengalaman orang lain untuk dijadikan pedoman, aku jadikan kata nasihat dan pendorong itu sebagai bekalan, aku jadikan kesabaran dan ketabahan itu sebagai keperluan. Banyak yang aku pelajari sepanjang bulan puasa ini, bulan ini tak ada aktiviti shoot pengantin tetapi aku tetap sibuk mencari berita. Ada juga aku pergi melawat anak yatim atau warga emas, setidak tidaknya aku patut bersyukur kerana masih beruntung dan sedikit bertuah dari mereka.

Aku akan berusaha mengubah nasib aku, memang semuanya kena usaha sendiri, tak boleh mengharapkan orang lain, cuma aku berdoa agar tuhan meringankan beban yang aku tanggung ini. Aku rasa amat berat beban ydan dugaan yang aku alami sekarang, entah sampai bila ianya akan berkurangan. Aku tahu ramai yang lebih malang dan tidak bernasib baik selain aku. Aku cukup mengerti semuanya dam aku yakin dugaan ini akan digantikan dengan kegembiraan dan kebahagiaan suatu masa nanti. Tapi aku hanya manusia biasa yang lemah dan tidak bermaya, ada kalanya kekuatan itu ada tapi ada kalanya sampai waktu lemahnya. Hingga aku rasa dalam jasad aku ini hanya tinggal pasrah dan sabad sahaja. Tapi setidaknya aku bersyukur, bersyukur kerana diberikan akal fikiran oleh tuhanku untuk berusaha berfikir dan mencari jalan penyelesaian, bila ada masalah aku masih boleh berfikir untuk sesuatu tindakan, alhamdulillah sudah sekian lama aku menghadapi masalah tapi tetap ada penyelesaiannya,

Apa yang masih ddalam fikiran aku, sampai bila ianya akan menjadi begini, sampai bila aku akan terus berfikir dan berasa risau serta takut untuk menghadapi hari esok, bilakah agaknya aku akan menghadapi hari mendatang dengan penuh yakin dan bersemangat. Mungkin tidak lama lagi agaknya dan aku pasti mengharapkannya. Banyak yang aku korbankan dan aku tak berapa pasti adakah pengorbanan aku ini akan berbaloi. Tapi sudah menjadi prinsip kejadian alam, kita tak boleh mendapatkan semuanya.

Kuucapkan selamat hari raya buat semuanya, moga raya ini akan menjadikan kita semuanya bahagia dan gembira dalam kehidupan. Cukuplah untuk hari ini, nanti aku sambung lagi.

End.

No comments:

Post a Comment